Friday, February 20, 2009

Kes 4 : Rompakan Wang Satu Juta 2 (Bahagian 1)

ROMPAKAN WANG SATU JUTA
Dalang Rompakan


“Nasib baik kau tak apa-apa… Cuma tertembak pada bahu dan kaki sahaja. Cuma dua das… Taklah teruk sangat kan? Tak lama lagi kau akan bertugas semula dengan aku. Aku bangga dengan kau. Tak lama lagi kau akan di naikkan pangkat dan pihak polis akan memberikan pingat dan penghargaan kepada kau kerana berjaya menembak dua orang penjenayah.” Yazit yang duduk di sebelah Helmie memberi semangat kepada rakan sekerjanya. Helmie yang sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh kerana terkena dua das tembakan pada bahu dan kakinya sedang baring dan masih mengelamun. Sepertinya dia tidak menghiraukan kata-kata dari rakan sekerjanya itu.
“Kau nak tahu? Duit yang pencuri tu rompak semalam dah ditemui semula malam tu juga. Hebatkan polis kita sekarang?” Tambah Yazit lagi yang bertujuan untuk memberi keceriaan kepada Helmie.
“Ah! Ya ke? Perompak-perompak tu kena tangkap sekali ke?!” Tiba-tiba Helmie seperti berminat dengan cerita Yazit.
“Tak… Semuanya berjaya melarikan diri.” Jawab Yazit yang tidak mendengar khabar yang wang rompakan dijumpai di dalam kereta yang lain.
“Kurang ajar betul… Bencinya aku….!!!” Jerit Helmie sehingga mengejutkan pesakit dan pelawat yang lain di wad itu.
“Kenapa ni Mie?! Tiba-tiba je kau menjerit..” Yazit hairan kerana dari dia sampai tadi Helmie hanya termenung dan kini rakannya itu nampak marah sekali.
“Oh! Tak ada apa-apa… Aku geram pasal perompak tu tak dapat diberkas sekali.” Jawab Helmie yang sedikit malu kerana semua orang memandang ke arahnya.
“Aku pun geram gak… Tapi yang penting wang tu selamat.” Ujar Yazit yang berbadan gempal itu sambil duduk kembal setelah tadi dia bangun untuk menenangkan Helmie.
Helmie kembali diam memandang dinding dan sekali lagi mengelamun jauh. Matanya menampakkan dirinya sedang marah.
Sedang Yazit bangun kembali untuk memberikan Helmie segelas air, tiba-tiba beberapa orang pegawai polis tiba di wad itu di ketuai oleh Inspektor Sani. Kelihatan juga Sarjan Idris yang berbalut kepala dan Inspektor Raudhah dengan tangan kanan yang tergantung dibalut dengan kain anduh segitiga. Nampaknya dua pegawai yang cedera ini berjaya meminta kebenaran doktor untuk bertugas semula walaupun masih dalam keadaan cedera. Cuma doktor menasihatkan mereka berdua tidak melakukan kerja berat yang boleh memudaratkan lagi kecederaan mereka.
Helmie hanya diam sahaja walaupun sudah mengetahui kehadiran pihak polis sedang Yazit mengukir senyuman tanda mengalu-alukan kehadiran mereka.
“Assalamualaikum…” Salam dilontarkan Inspektor Sani diikuti dengan yang lain. Mereka saling bersalaman.
“Kami begitu bangga dengan keberanian kamu melawan perompak malam tadi hingga menyebabkan kamu sendiri tercedera.” Ujar Inspektor Sani di awal perbualan.
“Terima Kasih..” Jawab Helmie ringkas dan hanya memberi sedikit senyuman.
“Tapi kan… Muka awak ni macam saya pernah tengok lah… kat mana ye?” Koperal Ismail bersuara sambil memandang tepat ke muka Helmie.
“Ye lah… Saya pun macam pernah nampak..” Sambung Inspektor Sani.
“Mungkin pelanduk dua serupa kot..” Jawab Helmie selamba.
“Ya Tuan… Dia ada…”
“Ha! Apalagi Tuan, jemputlah duduk. Semua sekali duduklah. Ambil kerusi kosong yang orang tak pakai tu. Ha.. Jemput…Jemput duduk.” Helmie memotong kata-kata Yazit. Helmie yang dari tadi hanya membisu dan menyambut kedatanga tetamu dengan dingin kini berubah menjadi peramah pula.
“Malam tadi memang saya terkejut dengan tindakan dia. Dia terkam seorang penjenayah tu, rampas pistol dan tembak dua orang perompak! Lepas tu tiga perompak lain mungkin dah marah lalu menghujankan tembakan pada Helmie. Nasib baik Cuma kena dua das tembakan.” Yazit bercerita sambil menggayakan apa yang diceritakannya.
“Mungkin Perompak-perompak tu tak nak buang masa untuk tinggalkan tempat tu. Kalau mereka tak tergesa-gesa mesti banyak peluru tembus di badan kamu. Alhamdulillah Cuma kena bahu dan kaki saja kan?” Tambah Inspektor Raudhah sambil tersenyum.
“Apa pun kau ni memang hati kering macam inspektor Raudhah. Sanggup menggadai nyawa. Sepatutnya kau ni jadi polis je lah. Tak payah jadi pengawal keselamatan.” Celah Sarjan Idris.
“Saya memang benci dengan perompak-perompak semalam tu. Kalau boleh memang saya bunuh mereka semua sekali gus. Baru puas hati saya.” Helmie hanya tersenyum saja sambil merenung jauh ke hadapan dan tidak berkata apa-apa selepas itu. Mereka yang ada di situ tersenyum bangga dengan kata-kata Helmie.
“Petang ni ketua kami dari ibupejabat kontinjen akan datang ke mari melawat kamu dan memberikan penghargaan kepada kamu. Sepatutnya kami ingin bawa kamu berdua ke tempat kejadian hari ni bagi siasatan kes. Tapi rasanya, hanya kawan kamu saja yang boleh ikut kami memandangkan kondisi badan kamu tak mengizinkan. Dia pun saksi yang penting juga.” Ujar Inspektor Sani sambil memandang Yazit.
“Boleh.. Apa salahnya. Saya akan cuba sedaya upaya membantu pihak polis.” Tegas Yazit.
“Mari ikut kami ke tempat kejadian.” Pelawa Sarjan Idris.
“Naik kereta polis ke?” Tanya Yazit.
“Kenapa?” Tanya Inspektor Raudhah.
“Saja tanya… saya tak pernah naik kereta polis.” Jawab Yazit.
“Ooh…”
Semua pegawai polis yang ada di situ berjabat tangan dengan helmie tanda mereka akan beredar. Seperti biasa Helmie hanya diam dan mengukir senyuman paksa.
Dua buah kereta milik Polis Di Raja Malaysia bergerak menuju ke lokasi kejadian malam tadi.
“Puan, Puan cakap nak bawak Jadid sekali.” Bisik Sarjan Idris yang duduk di belakang Inspektor Raudhah. Koperal Ismail yang sedang memandu menjeling ke sebelah.
“Dia tengah tunggu dekat-dekat sana.” Bisik Inspektor Raudhah pula.
Sarjan Idris mengangguk tanda faham.
“Apa yang korang bisikkan tu?” Tanya Koperal Ismail.
“Tak ada apa-apa…” Jawab Inspektor Raudhah dan Sarjan Idris serentak sambil senyum kambing.
Perjalanan dari Hospital Sungai Buloh ke bank tempat kejadian rompakan malam tadi mengambil masa 20 minit.
Sementara itu Jadid yang menunggu di sebuah restoran mamak berdekatan dengan Rasya sudah 20 minit menunggu ketibaan pihak polis. Kebetulan hari itu hari sabtu. Jadid dan Rasya meninggalkan aktiviti ko-kurikulum pada hari itu dan telah memberitahu kepada guru Persatuan Sains dan Matematik bahawa mereka ada hal yang tak boleh dielakkan.
“Jadid, Kau belum bagitau aku kenapa kita ke Bandar Baru ni. Apa hal yang penting sangat? Kau nak jumpa seseorang ya?” Teka Rasya yang sudah tak berapa sabar menunggu.
“Em.. Bukan seseorang, tapi banyak orang.” Jawab Jadid mengangguk sambil menghirup air milo ais yang berada di depannya.
“Straight to the point la… Kau ni buat aku gabrah la…” Pinta Rasya.
“Sat lagi kau tau la… sabar je…” Ujar Jadid pantas setelah menelan minuman yang diminumnya. Matanya memandang sebuah kawasan yang sudah di rentang dengan tali pengadang polis lebih kurang 30 meter di hadapan mereka. Beberapa orang polis sedang masuk ke dalam premis yang menjadi kawasan larangan itu.
Ibunya belum kelihatan lagi. Rasya juga turut sama melihat kawasan kejadian rompakan.
“Berani ya pengawal keselamatan yang jaga bank tu semalam. Aku dengar kat berita pagi tadi dia dapat tembak dua orang perompak kat dalam bank tu. Tapi tak dapat dipastikan samada dua perompak tu hidup lagi ke tidak. Mintak-mintak mati biar padan muka dia orang!” Ujar Rasya.
“Macam mana nak padan muka kalau dah mati. Kalau lumpuh ke, cedera parah ke.. boleh cakap padan muka.” Balas Jadid sambil tersenyum kambing.
“Maksud aku biar padan muka dia orang dapat balasan kat neraka nanti.” Sambung Rasya sambil mengalih perhatian ke wajah Jadid.
“Tak cakap dari tadi…” Sambung Jadid. Rasya membuang muka ke arah premis bank kembali.
Dua buah kereta polis berhenti di hadapan kawasan kejadian. Inspektor Raudhah dilihat keluar dari salah sebuah kereta itu dan diikuti dengan yang lain.
“Jom!” Jadid bangun dari duduk menuju ke arah kaunter pembayaran.
“Eh kau nak kemana? Tiba-tiba je keluar.. Tunggu aku!”...


dapatkan buku Kisah Penyiasatan: Jadid Raudhah di Google Play untuk sambungan kisah ini..

2 comments:

norsuria said...

bes la..jadid mcm detektif Conan..Sue suke bace kisah penyiasat2 ni..mcm kisah2 dari penulis Guild Builtons plak bile sue bace dalam casebreaker ni..
gud job!!
y not en.Dediy Sulaeman siarkan karya2 kamu ke http://penulisan2u.blogspot.com dalam blog tu bnyk karya2 yang menarik..tapi setakat ni, xder yang menarik macam citer jadid ni g! sbb majority dlm tu semuanyer kisah2 cinta!!
taniah en.dediy kerana menghasilkan karya yang menarik!

Dd Chronicle said...

Trima kasih krn menyokong karya saya. Kes 1 ada dlm penulisan2u. Lps tu dh x publish lg kt sana. Anyway, thanks 4 visit my blog. Harap dpt bertemu saudari di facebook. Search : kisah penyiasatan : jadid raudhah. Jumpalah beberapa orang peminat jadid di sana. Kita sedang mencari lg peminat kisah penyiasatan di sana. Insyallah, saya akn lawat blog anda kalau ada kesempatan. Bye..

Post a Comment

Beritahu saya sesuatu... cakap... cakap....!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Superman Logo