Tuesday, January 27, 2009

Kes 1 : Episod Malang Keluarga Bakri (Bahagian 1)

“Jadid!!!!!”
“Ooo Jadid…!”
Suara yang datang dari dapur itu membingitkan suasana seisi rumah. Rumah dua tingkat yang tersergam indah di tengah-tengah kawasan perumahan elit di Bandar Baru Sungai Buloh 2 itu baru mendapat tuan baru beberapa hari lalu setelah keluarga Encik Bakri berpindah dari rumah lamanya yang terletak di Ampang Jaya kerana tugas sebagai seorang pengurus bank.
Seorang gadis berusia 16 tahun melangkah keluar dari bilik dan menuju ke arah suara yang memanggilnya. Dengan berpakaian baju T dan seluar pendek paras lutut dia berlari-lari anak sambil mengelak beberapa bungkah permainan kecil milik adiknya di ruang tamu. Setibanya di dapur dia memberhentikan langkahnya setelah orang yang dicarinya telah ditemui sedang mencuci pinggan yang kelihatan memenuhi singki.
“Ada apa mak?” Tanya gadis itu yang kelihatan seperti terganggu dengan panggilan ibunya. Keningnya sedikit berkerut.
Ibunya yang sedang khusyuk mencuci pinggan mangkuk berpaling dengan tangannya masih meneruskan kerja.
“Mak cuma nak kau tengok-tengokkan adik kau tu je. Dia tengah main kat ruang tamu kan?”
“Bermain di ruang tamu?” Jadid mengerutkan dahi sambil melabuhkan punggungnya di kerusi meja makan yang terletak disebelahnya.
“Kan adik kau ada di ruang tamu. Kenapa? Dah tak de ke?” Giliran ibunya pula mengerutkan dahi. Kali ini mereka sama-sama mengerutkan dahi dan memandang antara satu sama lain.
“Aiman!!!!”
serentak jeritan anak beranak itu. Mereka bergegas ke ruang tamu bersama. Memang betul… Seorang ahli keluarga mereka iaitu anak bongsu Puan Raudhah didapati tiada di tempat dia bermain.
“Mak! Kenapa biarkan adik main seorang kat sini!!!” Jadid memarahi ibunya yang sedang mengusap-usap pipi dengan dua tapak tangannya.
“”Mak ingat kau ada kat sini. Tu yang tak berapa nak tengok sangat tu!! Kau pun satu… dah tahu adik kau ada kat ruang tamu ni kenapa kau masuk bilik pulak?!” Jelas Puan Raudhah sambil menyelak bahagian bawah kain alas meja sebuah meja kecil berhampirannya takut-takut anak bongsunya yang bernama Aiman itu tertidur di bawah meja. Sementara itu Jadid membuka bilik stor yang ada di bawah tangga. Juga tiada ….
“Habislah kalau ayah tahu…!” Jadid mengomel sambil melangkah laju menuju ke pintu utama rumah mereka yang terbuka sedikit dan memakai selipar ayahnya yang berada jauh dari pintu. Jadid hairan kenapa selipar ayahnya itu berada jauh dari pintu dan dalam keadaan yang tidak tersusun.
“Ayah kau kejap lagi balik. Apa kita nak jawab kat dia?” Sambung Puan Raudhah yang juga megikut jejak Jadid. Encik Bakri yang bertugas di sebuah bank di Bandar Baru Sungai Buloh akan habis bertugas tepat pukul 5.00 petang. Jam sudah menunjukkan pukul 3.30 petang.
Jadid menuju ke pintu pagar yang tertutup dan berkunci. Tetapi di sebelah kiri pintu pagar itu ada sebuah pintu kecil yang sediakala diselak tapi mangganya tidak dikunci. Tinggi selak itu 4 kaki daripada lantai.
“Tak mungkin adik aku yang baru 2 tahun tu boleh keluar dan menolak semula selak pintu ni. Tinggi dia baru 2 kaki lebih sikit je. Mesti dia ada di dalam rumah ni lagi. Lagipun sekeliling ni tak ada pun benda yang boleh dia panjat untuk membuka dan menutup selak pintu ni. Kat luar pintu pagar pun takde juga.” Jadid berfikir sejenak sambil memegang selak pintu yang tertutup itu.
“Jumpa tak kat luar tu?” Jerit Puan Raudhah dari tingkap bilik utama di tingkat atas.
“Tak…! Ada kat atas ke?” Jadid membalas.
“Biar betul Jadid… Mana adik kau …!” Puan Raudhah semakin risau. Air matanya hampir terpacul dari kelopak matanya. Wajah suaminya mula terbayang di ruang mata. Bukan dia takut dimarahi oleh Encik Bakri. Tetapi dia memikirkan sedihnya perasaan suaminya itu setelah mendapat tahu anak kesayangannya itu hilang. Encik Bakri memang sayang pada Aiman. Walaupun dia penat bekerja setiap hari, tetapi dia tidak lupa membawa Aiman ke taman permainan berhampiran hampir setiap hari. Dia juga pasti akan membelikan hadiah berupa snek atau permainan setiap kali pulang dari kerja. Tapi hari ini satu peristiwa yang tidak dijangka telah berlaku.
Manakala Jadid yang yakin adiknya masih ada di dalam rumah terhenti di pintu masuk utama rumahnya. Dia memandang selipar yang dipakainya. Bila masa pula selipar jenama ‘Asadi’ ayahnya bertukar menjadi jenama ‘Asabi’? Warna sama. Ton warna birunya juga sama. Sekali pandang memang tiada kecurigaan. Bila diteliti betul-betul, barulah dia perasan yang itu bukan selipar milik ayahnya. “Patutlah aku rasa longgar semacam je. Saiz 8! Ayah pakai saiz 6 1/2! Ada orang pecah masuk rumah aku dan culik adik aku!!” Jadid terbeliak sambil berlari masuk ke dalam rumah untuk mendapatkan ibunya.
Di ruang tamu, Jadid sekali lagi terhenti.
“Biar aku periksa dulu keadaan ruang tamu ni.”
Jadid memerhatikan sekeliling. Ada banyak bungkah mainan ‘Lego’ di atas permaidani berukuran 8’ x 4’ di hadapan TV 49 inci. Purata setiap satunya bersaiz kotak mancis dan ada pelbagai warna.
“ ‘Lego’ set ni hadiah dari ayah. Baru semalam dia belikan untuk Aiman. Rasanya belum ada yang hilang kalau aku kumpul dan kira balik semua bongkah mainan ni.” Lalu Jadid pun mengumpul semua bongkah mainan adiknya yang berterabur di atas permaidani. Ada beberapa biji yang telah bercantum. Mungkin telah dicantum oleh adiknya. Beberapa bongkah juga didapati pecah. Jadid segera mendapatkan kotak set ‘Lego’ di atas meja bagi mencari penerangan mengenai barang mainan itu.
Dibelek-beleknya kotak itu sehingga Jadid terjumpa sehelai kertas didalam kotak itu.
“Ha, ini dia… Bilangan bongkah dengan pecahan warnanya sekali!” Bisik hati Jadid.
Jadid pun mula mengasingkan bongkah mengikut warna dan mengira bagi dibandingkan dengan jumlah yang terdapat dalam kertas penerangan yang dijumpainya di dalam kotak set ‘lego’.
“Merah 25 biji…Betul…”
“Kuning 25 biji… Betul…”
“Biru 20 biji… Betul…”
“Hitam 20 biji… Betul…”
“hijau…17?!”
“Dan ungu…23?!


dapatkan buku Kisah Penyiasatan: Jadid Raudhah di Google Play untuk sambungan kisah ini..



0 comments:

Post a Comment

Beritahu saya sesuatu... cakap... cakap....!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget
Superman Logo