Friday, February 20, 2009

Kes 2: Mana Laptop Cikgu?! (Bahagian 1)

MANA LAPTOP CIKGU?


Kriiiiiiing!!!!

Deringan loceng yang memekakkan telinga bagi orang yang pertama kali mendengarnya. Tetapi bagi pelajar Sekolah Menengah Bandar Baru Sungai Buloh sudah menjadi kebiasaan mendengar bunyi itu. Mana taknya… Dalam sehari lebih kurang enam kali bunyi loceng menusuk ke gegendang telinga mereka. Bagi mereka bunyi loceng sekolah sudah menjadi seperti bunyi cengkerik di waktu malam.
Bunyi loceng pertama itu menandakan bermulalah waktu persekolahan pada hari Isnin minggu pertama di bulan Mac tahun ini. Kelihatan seorang pelajar dilihat sedang memasuki perkarangan sekolah melalui pintu utama. Dua orang pengawas yang ditugaskan di pintu utama itu nampaknya memberi peluang kepada pelajar itu memandangkan deringan loceng belum sampai ke penghujungnya. Dia berlari-lari anak bagi mengelakkan nama mereka tercatit sebagai pelajar yang datang lewat pada hari itu dan terpaksa berbaris di barisan yang dikhaskan untuk pelajar yang lewat pada perhimpunan yang akan berlangsung setiap hari Isnin.
Seorang guru wanita juga baru memasuki pintu pagar sekolah dengan kereta Perodua Kancilnya menuju ke tempat meletak kenderaan. Dia tergesa-gesa keluar dari keretanya dan membuka pintu belakang sebelah pemandu bagi mengambil barang. Beberapa fail, buku dan sebuah beg perlu dibawa oleh guru wanita itu. Badannya terhoyong hayang apabila sebuah fail paling atas dalam tatangan tangannya menggelongsor ke kiri dan ke kanan akibat keagresifan guru itu berjalan dengan agak pantas.
“Cikgu… Biar saya tolong…”
“Ya cikgu… Kesian kami tengok cikgu.” Dua orang pelajar perempuan yang kebetulan ada di situ menawarkan bantuan kepada Cikgu Dalilah.

“Ah… Terima Kasih ya… Nasib baik kamu ada. Kalau tak mungkin barang cikgu akan jatuh sebelum sampai ke bilik guru. Kamu letak saja atas meja cikgu ya…. Cikgu nak ke tandas…Lagi satu, Hati-hati bawa beg tu ye… Kalau jatuh terhempas menangis saya..” Minta Cikgu Dalilah kepada Dua pelajar perempuan itu sambil dia meneruskan langkahnya ke tandas yang terletak di hujung blok utama yang menempatkan bilik guru di hujung yang satu lagi.
“Cikgu.. Tunggu… Meja cikgu kat sebelah mana?” Tanya seorang dari pelajar perempuan itu.
“Kat sebelah meja Cikgu Rosnah!! Meja Paling tepi.” Jerit Cikgu Dalilah tanpa menoleh ke belakang.
“Nampaknya cikgu tu dah betul-betul tak tahan nak ehem ehem kot. Nasib Cikgu Rosnah tu guru kelas kita. Senanglah kita cari meja dia. Betul tak Jadid?!” Ujar Rasya kepada temannya sambil kedua-dua pelajar tingkatan 4 Harmoni itu berjalan menuju bilik guru yang berada di blok utama iaitu bangunan yang menghadap Dataran SMKBBSB.
“Iya lah… Tapi yang hairan…cikgu tu tak bagi tau kita kat mana meja dia sebelum dia tinggalkan kita. Padahal dia tak mengajar kat kelas kita pun. Dia mesti tahu yang kita tak tahu lokasi meja dia.” Balas Jadid yang sedang memeluk fail kepunyaan Cikgu Dalilah.
Jadid membawa beg sandang dan dua buah fail manakala Rasya membawa lima buah fail ke bilik guru yang tidak jauh dari mereka. Kebanyakan guru sudah meninggalkan bilik guru untuk mengambil tempat di perhimpunan. Tinggal beberapa orang guru sahaja. Selesai meletakkan barang kepunyaan Cikgu Dalilah, mereka keluar dari bilik guru bersama dengan Cikgu Ruhaidah, guru matapelajaran Sains. Dia adalah guru yang paling akhir meninggalkan bilik itu. Jadid dan Rasya terus ke barisan kelasnya dalam perhimpunan itu. Barisan kelas mereka berdua berada di tengah-tengah perhimpunan.
Beberapa orang pengawas pula ditugaskan untuk rondaan sekitar kelas dan kawasan sekolah bagi memastikan tiada pelajar yang tidak menyertai perhimpunan kecuali bersebab. Dataran SMKBBSB yang terletak di hadapan bangunan utama yang menempatkan hampir keseluruhan pentadbiran sekolah yang tadinya menjadi kawasan lalu lalang pelajar dan guru-guru semakin sesak dengan pelajar. Tak sampai lima minit 90 peratus pelajar dan guru-guru sekolah itu sudah memenuhi dataran tempat berlangsungnya perhimpunan. Beberapa orang pengawas dan pelajar menyusun kerusi di hadapan barisan pelajar bagi menempatkan guru-guru mereka.
Nampaknya ada beberapa orang di barisan pelajar yang datang lewat. Dua orang pelajar perempuan tingkatan 4 dan seorang pengawas lelaki tingkatan 5. Seperti biasa pelajar lain pasti akan tertarik melihat muka-muka pelajar yang datang lewat. Dua orang Pengawas yang ditugaskan di pintu pagar utama sekolah kelihatan berjalan menuju perhimpunan. Seorang daripadanya menyerahkan nama-nama pelajar yang lewat kepada seorang guru yang masih berdiri sedangkan guru-guru lain sudah mengambil tempat duduk masing-masing. Dia adalah guru disiplin, Cikgu Jamal. Cikgu Jamal tidak meneliti nama-nama dalam senarai yang diterimanya kerana nama mereka akan terus dipanggil selesai perhimpunan tamat. Senarai itu kemudian dimasukkan ke poket baju kemejanya.
Pengawas yang menjalankan rondaan sekitar kawasan sekolah belum kelihatan. Sudah menjadi kebiasaan mereka yang ditugaskan meronda kawasan sekolah sebelum perhimpunan bermula akan lewat lebih kurang 5 hingga 10 minit kerana perlu menjelajah ke seluruh pelusuk kawasan bagi memastikan tiada rakan mereka yang ponteng perhimpunan.
Dua kerusi didapati kosong di barisan guru. Satu daripadanya milik cikgu Jamal yang masih berdiri di tepi barisan beratus-ratus pelajar. Manakala satu lagi kepunyaan salah seorang cikgu yang masih berada dalam bilik guru.

BILIK GURU

“Ya Allah… Mana aku letak Laptop aku tadi… Takkan baru tinggal sekejap ke tandas dah hilang!” Rupanya Cikgu Dalilah yang mengajar matapelajaran Sejarah sedang dalam kesusahan. Komputer Riba kepunyaannya yang berada dalam beg sandang hilang entah ke mana semasa dia pergi ke tandas.
“Takkan budak tu salah letak? Tak mungkin..! Beg tu pasti diletak bersama fail-fail ni.” Cikgu Dalilah memandang fail yang ada di atas mejanya. Puas juga dia mencari di segenap pelusuk bilik guru. Namun usahanya tidak berhasil.
Dia cuba mengingat semula wajah dua orang pelajar yang menolongnya tadi. Mungkin dua pelajar itu yang melarikan komputer ribanya. Tetapi dia tidak boleh menuduh secara melulu kerana tak mungkin dua pelajar perempuan itu mendedahkan wajah mereka kepadanya kalau mereka berniat mencuri. “Tapi sekurang-kurangnya dua pelajar boleh jadi suspek atau saksi…Alamak… Aku lupalah muka diorang.. Kena buat post-mortem ni.” Bisik hati Cikgu Dalilah. Lantas dia keluar dari bilik guru secara tergesa-gesa. Mula-mula dia mendapatkan Cikgu Jamal yang berdiri di tepi barisan pelajar. Cikgu Dalilah membisikkan kejadian yang menimpanya ke telinga Cikgu Jamal. Cikgu Jamal terkejut mendengar kejadian itu dari Cikgu Dalilah yang kelihatan runsing sekali. Kebanyakan pelajar yang sedang berbaris sedar dengan tingkah laku Cikgu Dalilah yang jelas dalam kesusahan. Begitu juga Jadid dan Rasya.
“Jadid, Kau tengok Cikgu tadi tu.. Macam ada yang tak kena je dengan dia.” Suara perlahan Rasya kepada Jadid yang berada di depannya.
Jadid tersenyum sinis.
“Kau percaya tak kalau aku cakap yang kita akan berada dalam trouble jap lagi…” Jadid memusingkan sedikit kepalanya ke belakang.
“Kenapa kau cakap macam tu?” Rasya terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh rakannya itu.
“Dia mesti kehilangan barang.” Jelas Jadid Ringkas. Rasya terkejut sambil menutup mulutnya yang ternganga takut-takut dia akan menjerit.
“Tengok riak muka cikgu tu…, Dahinya berkerut, keningnya terangkat sedikit, bibirnya terbuka sedikit. Itu tanda orang runsing yang dalam kesusahan.Kalau sesuatu berlaku pada keluarganya dan dia mendapat panggilan telefon, pasti dia dah menangis dan mukanya akan merah. Kalau dia mengalami kecederaan, pasti riak mukanya menterjemahkan rasa sakitnya itu dan dia memegang bahagian tubuh yang sakit. Kalau setakat sakit perut atau pening kepala tak perlulah dia nak beritahu Cikgu Jamal. Elok dia duduk dalam bilik guru saja. Sedangkan dia boleh beritahu Cikgu Hasnah yang duduk paling tepi dalam barisan guru. Tak perlu susah-susah mendapatkan Cikgu Jamal yang berada kat tepi barisan pelajar tu.Cikgu Jamal adalah guru disiplin. Jadi ia mungkin pasal disiplin. Kehilangan atau kecurian ada hubung kait dengan disiplin.” Jelas Jadid lagi. Rasya hairan dengan keterangan Jadid. Kenapa rakannya itu begitu pantas berfikir?
Benarkah mereka akan berada dalam masalah seperti yang dikatakan oleh Jadid?
Cikgu Jamal mengatakan sesuatu kepada Cikgu Dalilah sambil mengangguk dan terus mendapatkan pengetua sekolah yang duduk di tengah-tengah barisan para guru sambil diikuti oleh Cikgu Dalilah sendiri. Semua mata tertumpu ke arah Cikgu Jamal dan Tuan Pengetua, iaitu Tuan Haji Shahar. Ketua pelajar, Sulaimi yang berada di atas platform juga terhenti memberi ucapan pembukaan kerana dia sedar yang semua pelajar tidak tertumpu ke arahnya. Cikgu Jamal naik ke atas platform dan menggantikan tempat Sulaimi. Sepertinya ingin memberi pengumuman penting pada pagi itu.
“Baiklah! Kepada semua pelajar, anda semua dikehendaki masuk ke dalam kelas masing-masing sekarang kerana perhimpunan pada hari ini dibatalakan atas sebab-sebab tertentu. Hanya pengawas sahaja yang dikehendaki berada di sini. Sekian Terima Kasih.” Pengumuman Cikgu Jamal itu mendapat sambutan yang hangat oleh sesetengah pelajar yang memang tidak sukakan perhimpunan. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang datang lewat pada hari itu kerana mereka terlepas dari hukuman mengutip sampah sekitar kawasan sekolah.
“Hi hi hi…Selamat kita Jadid…” Lontaran rasa lega Rasya sambil menarik bahu Jadid yang tidak berganjak dari tempat dia berdiri.
“Lupakan niat kau nak masuk kelas sekarang…” Ujar Jadid sambil tersenyum sinis.


dapatkan buku Kisah Penyiasatan: Jadid Raudhah di Google Play untuk sambungan kisah ini..

0 comments:

Post a Comment

Beritahu saya sesuatu... cakap... cakap....!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Superman Logo