Sunday, August 22, 2010

Kes 5 : PEMBUNUHAN DI 'HEAVEN SQUARE' (Bahagian 1)

KES 5 : PEMBUNUHAN DI ‘HEAVEN SQUARE’



Kehilangan Aiman memberi kesan yang sangat mendalam kepada keluarga Bakri. Walaupun keceriaan terpancar dari raut wajah tiga beranak itu, jauh di lubuk hati mereka yang dalam kesedihan tetap mencengkam. Siasatan ke atas kehilangan Aiman sudah masuk minggu yang ketiga. Inspektor Raudhah dan anggota polis yang lain masih lagi berhempas pulas mencari petunjuk dan jalan untuk mengesan kelibat Aiman yang masih berusia dua tahun itu. Encik Bakri dan Jadid tak habis-habis memberi semangat kepada Inspektor Raudhah setiap hari sebagai perangsang. Mereka benar-benar mengharap agar Aiman akan kembali ke sisi mereka suatu hari nanti.
Walaupun penculik Aiman dapat diberkas pada hari kejadian, namun Aiman sudah berpindah ketangan orang lain. Penculik Aiman yang juga seorang penganggur itu telah menyerahkan Aiman kepada rakannya yang juga seorang ahli sindiket penculikan sebelum dia tertangkap dek kebijaksanaan Jadid. Identitinya juga telah dikenal pasti. Cepat atau lambat memberkas menumpaskan sindiket itu kini terpulang kepada pihak polis. Disamping itu, Inspektor Raudhah juga perlu menyelesaikan kes rompakan bank beberapa hari lalu setelah tertangkapnya dalang rompakan itu yang juga merupakan pengawal keselamatan yang bertugas di premis bank berkenaan. Lakaran wajah suspek sudah dikeluarkan. Tempat persembunyian mereka juga sudah diserbu. Ternyata mereka sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku apabila polis tidak menjumpai apa-apa bukti di tempat persembunyian perompak itu yang merupakan sebuah rumah teres satu tingkat di Puchong Perdana.
Saudara kembar pengawal keselamatan yang terlibat dalam kes rompakan beberapa hari lalu yang juga bekas pelakon lagak ngeri itu juga hilang tanpa kesan. Pastinya dia sudah tinggal berasingan dengan empat lagi rakan jenayahnya gara-gara cuba melarikan wang hasil rompakan yang akhirnya berjaya ditemui semula pada malam kejadian hasil tindakan berani Inspektor Raudhah dan ramalan tepat anak perempuannya yang berumur 16 tahun, Jadid. Tak sampai sebulan bertugas di Sungai Buloh, Inspektor Raudhah sudah mendapat dua tugasan berat dan salah satunya melibatkan keluarganya sendiri.
Itulah asam garam kehidupan. Keceriaan dan kebahagiaan dunia boleh direnggut sekelip mata oleh kekejaman dunia itu sendiri. Untuk mendapatkannya kembali, tiada jalan mudah. Semua elemen positif perlu bergabung menjadi satu di dalam diri. Kesabaran, ketabahan, kecekalan dan keimanan pada sang pencipta perlu tersemat dalam jiwa untuk merampas kembali kebahagiaan yang terbelenggu di dalam kekejaman dunia.
“Apa?! Mereka dihantar ke luar negara?” Bentak Inspektor Sani yang bangun dari kerusi empuk di dalam biliknya.
“Ya Tuan… Itu info baru yang saya ketahui. Sindiket ini menjalankan urusan jual beli manusia ke luar negara untuk dijadikan pengemis, pelacur dan anak angkat kepada sesiapa yang berminat di luar sana. Sasaran utama mereka adalah kanak-kanak dan remaja bawah umur. Negara yang menjadi tumpuan ialah negara jiran iaitu Thailand dan Indonesia. Kita sudah maklumkan kepada pihak berkuasa kedua-dua negara bagi membantu kita dalam kes ini. Tapi saya tak pasti sama ada anak saya sudah dibawa keluar dari negara ini atau belum.” Puan Raudhah hampir menitiskan air mata sejurus ayat terakhir.
“Harap-harap anak awak masih berada di sini. Kita akan sama-sama mencari semua mangsa yang telah diculik tak kira yang berada di dalam negara mahu pun di luar negara. Sindiket ini juga di bawah naungan satu pertubuhan jenayah paling dikehendaki di negara kita. Mereka yang menjalankan kegiatan ‘multi criminal’ ini mendapat dana yang cukup besar dari ahli-ahli atasannya yang terdiri dari golongan-golongan berada dan terkenal. Rompakan wang yang kita berjaya gagalkan baru-baru ini juga dilakukan oleh ahli-ahli dari kumpulan itu. Bekas pelakon lagak ngeri yang pernah terlepas dari hukuman kerana tak cukup bukti mengaitkannya dengan kumpulan itu juga kini terbukti adalah seorang penjenayah. Saudara kembarnya sendiri telah mendedahkannya dalam soal siasat yang dijalankan. Kini dia masih terlepas. Begitu juga empat rakannya yang lain.” Inspektor Sani duduk semula setelah mundar mandir semasa memberi keterangan. Puan Raudhah terimbas kembali detik cemas semasa adegan kejar-mengejar pada malam rompakan. Dia hampir menamatkan riwayat Herman, bekas pelakon lagak ngeri ketika itu. Cara Herman menyelamatkan diri dari kemalangan dasyat itu menjadi tanda tanya kepada dirinya. Saksi di tempat kejadian menceritakan sendiri bagaimana kereta Volvo S80 yang dinaiki Herman mengalami perlanggaran yang cukup dasyat dan menjangkakan pasti pemandu kenderaran itu akan mati dalam keadaan yang ngeri jika dilihat dari rempuhan dasyat dan keadaan kenderaan itu selepas kemalangan. Herman bukan sahaja seorang pelakon lagak ngeri malah mungkin juga seorang ahli silap mata! Sampai ke situ Puan Raudhah terfikir.
“Inspektor…Apa yang difikirkan tu?” Tiba-tiba lamunan Puan Raudhah terhenti setelah terdengar suara Inspektor Sani.
“Ah! Tak ada apa-apa Tuan.” Jawab Puan Raudhah ringkas.
“Lagi satu saya nasihatkan, Inspektor kena utamakan keselamatan diri ketika berhadapan dengan penjenayah. Buatlah tindakan yang dirasakan betul dan selamat. Saya tahu Inspektor ada kemahiran luar biasa dalam pemanduan bahaya. Pada malam rompakan tu, saya rasa Inspektor telah melakukan sesuatu yang tak sepatutnya dilakukan oleh anggota polis biasa. Kami tak kisah pun kalau wang satu juta tu terlepas pada malam tu berbanding kami kehilangan seorang anggota polis yang terbaik pernah kami ada.” Ujar Inspektor Sani.
“Ha? Terbaik? Saya terbaik? Saya tak faham maksud tuan cakap macam tu.” Puan raudhah sedikit terkejut mendengar perkataan ‘terbaik’ yang ditujukan pada dirinya.
“Pihak atasan ada sebab menukar Inspektor ke cawangan ini. Ketua polis negara telah mengarahkan supaya memilih seorang pegawai yang terbaik dari segala aspek untuk dipindahkan ke kawasan ramalan tertumpunya jenayah. Kita mempunyai banyak informasi dari pihak tertentu yang mengatakan sasaran kumpulan penjenayah itu yang seterusnya adalah…. SUNGAI BULOH. Setelah ibu pejabat berbincang tentang pegawai yang sesuai untuk dipindahkan ke kawasan ini, mereka sebulat suara memilih kamu… INSPEKTOR RAUDHAH.”
Keterangan Inspektor Sani itu mengundang rasa bangga Puan Raudhah. Dia sungguh terharu mendengar kata-kata dari tuannya itu kerana sebelum ini dia hanya menganggap pemindahannya hanyalah perkara biasa yang perlu dilalui oleh seorang anggota polis dan tidak diberitahu alasan dan sebab dia dipindahkan ke Sungai Buloh. Patutlah baru beberapa bulan dia berada di Sungai Buloh sudah banyak berlaku kes-kes jenayah yang memaksa dia bekerja keras dalam tugasnya sebagai seorang anggota polis.
Walau apapun yang terjadi, Inspektor Raudhah tetap akan menjalankan tugasnya sebagai anggota polis dengan baik. Itulah janji Inspektor Raudhah pada dirinya hari itu.

PUSAT MEMBELI BELAH SUNGAI BULOH


Selasa, 2 30 petang


“Tiiiiit!!”
“Pon!! Pon!!!”
Bunyi hon kenderaan mencemar udara sekitar Pusat Membeli Belah Bandar Baru Sungai Buloh. Sebuah bangunan yang baru siap dibina pertengahan tahun lepas dan menjadi kebanggaan bandar metropolitan itu setelah ianya dianggap sebagai pusat membeli belah terbesar di dunia dengan 10 tingkat ruangannya dipenuhi dengan premis perniagaan. Kini ‘Heaven Square’ menjadi tumpuan orang ramai tak kira dari dalam mahupun luar negara. Semenjak terdirinya bangunan-bangunan tinggi sekitar tanah jajahan Sungai Buloh beberapa tahun lalu, bandar itu menjalani perubahan drastik dari segi ekonomi, kepadatan penduduk dan kebanjiran pelabur dalam dan luar negara. Kini Sungai Buloh menjadi salah satu kawasan tumpuan perniagaan dan perlancongan yang utama di Malaysia Raya. Tetapi dalam masa yang sama Bandaraya Metropolitan Sungai Buloh kini menjadi antara tempat yang paling tidak selamat di duduki di negara ini. Walaupun statistik menunjukkan kesimpulan itu, orang ramai tetap berkunjung dan mencari rezeki di bandar itu memandangkan peluang yang terbuka luas sehinggakan ianya digelar ‘Hell city in the heaven’.
Seorang polis bantuan kelihatan sedang mengawal sebuah lorong di tepi ‘Heaven Square’ yang penuh sesak akibat tempat letak kereta berbayar yang disediakan untuk pengunjung sudah penuh. Banyak juga pemandu yang meletakkan kenderaan di garisan kuning, perhentian teksi dan bas serta kawasan ‘reserved parking’. Inilah pemandangan biasa di ‘Heaven Square’ setiap hari. Pejalan kaki juga berteraburan di merata tempat. Semua persimpangan jalan berdekatan Heaven Square kelihatan agak sesak memaksa beberapa orang polis trafik menjalan tugas bagi memastikan kesesakan dapat dikurangkan.
Dalam kesibukan di sekitar ‘Heaven Square’ tiba-tiba terdengar satu jeritan yang agak kuat dan mengerikan dari tingkat atas pusat membeli belah yang menempatkan separuh daripada tempat letak kereta bangunan itu yang mana separuh lagi berada di aras bawah bangunan berkenaan. Jeritan itu itu disusuli dengan munculnya satu lembaga yang seakan-akan terjun dari bangunan sepuluh tingkat itu..

dapatkan buku Kisah Penyiasatan: Jadid Raudhah di Google Play untuk sambungan kisah ini..

0 comments:

Post a Comment

Beritahu saya sesuatu... cakap... cakap....!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget
Superman Logo