Friday, February 20, 2009

Kes 4 : Rompakan Wang Satu Juta 2 (Bahagian 1)

ROMPAKAN WANG SATU JUTA
Dalang Rompakan

“Nasib baik kau tak apa-apa… Cuma tertembak pada bahu dan kaki sahaja. Cuma dua das… Taklah teruk sangat kan? Tak lama lagi kau akan bertugas semula dengan aku. Aku bangga dengan kau. Tak lama lagi kau akan di naikkan pangkat dan pihak polis akan memberikan pingat dan penghargaan kepada kau kerana berjaya menembak dua orang penjenayah.” Yazit yang duduk di sebelah Helmie memberi semangat kepada rakan sekerjanya. Helmie yang sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh kerana terkena dua das tembakan pada bahu dan kakinya sedang baring dan masih mengelamun. Sepertinya dia tidak menghiraukan kata-kata dari rakan sekerjanya itu.
“Kau nak tahu? Duit yang pencuri tu rompak semalam dah ditemui semula malam tu juga. Hebatkan polis kita sekarang?” Tambah Yazit lagi yang bertujuan untuk memberi keceriaan kepada Helmie.
“Ah! Ya ke? Perompak-perompak tu kena tangkap sekali ke?!” Tiba-tiba Helmie seperti berminat dengan cerita Yazit.
“Tak… Semuanya berjaya melarikan diri.” Jawab Yazit yang tidak mendengar khabar yang wang rompakan dijumpai di dalam kereta yang lain.
“Kurang ajar betul… Bencinya aku….!!!” Jerit Helmie sehingga mengejutkan pesakit dan pelawat yang lain di wad itu.
“Kenapa ni Mie?! Tiba-tiba je kau menjerit..” Yazit hairan kerana dari dia sampai tadi Helmie hanya termenung dan kini rakannya itu nampak marah sekali.
“Oh! Tak ada apa-apa… Aku geram pasal perompak tu tak dapat diberkas sekali.” Jawab Helmie yang sedikit malu kerana semua orang memandang ke arahnya.
“Aku pun geram gak… Tapi yang penting wang tu selamat.” Ujar Yazit yang berbadan gempal itu sambil duduk kembal setelah tadi dia bangun untuk menenangkan Helmie.
Helmie kembali diam memandang dinding dan sekali lagi mengelamun jauh. Matanya menampakkan dirinya sedang marah.
Sedang Yazit bangun kembali untuk memberikan Helmie segelas air, tiba-tiba beberapa orang pegawai polis tiba di wad itu di ketuai oleh Inspektor Sani. Kelihatan juga Sarjan Idris yang berbalut kepala dan Inspektor Raudhah dengan tangan kanan yang tergantung dibalut dengan kain anduh segitiga. Nampaknya dua pegawai yang cedera ini berjaya meminta kebenaran doktor untuk bertugas semula walaupun masih dalam keadaan cedera. Cuma doktor menasihatkan mereka berdua tidak melakukan kerja berat yang boleh memudaratkan lagi kecederaan mereka.
Helmie hanya diam sahaja walaupun sudah mengetahui kehadiran pihak polis sedang Yazit mengukir senyuman tanda mengalu-alukan kehadiran mereka.
“Assalamualaikum…” Salam dilontarkan Inspektor Sani diikuti dengan yang lain. Mereka saling bersalaman.
“Kami begitu bangga dengan keberanian kamu melawan perompak malam tadi hingga menyebabkan kamu sendiri tercedera.” Ujar Inspektor Sani di awal perbualan.
“Terima Kasih..” Jawab Helmie ringkas dan hanya memberi sedikit senyuman.
“Tapi kan… Muka awak ni macam saya pernah tengok lah… kat mana ye?” Koperal Ismail bersuara sambil memandang tepat ke muka Helmie.
“Ye lah… Saya pun macam pernah nampak..” Sambung Inspektor Sani.
“Mungkin pelanduk dua serupa kot..” Jawab Helmie selamba.
“Ya Tuan… Dia ada…”
“Ha! Apalagi Tuan, jemputlah duduk. Semua sekali duduklah. Ambil kerusi kosong yang orang tak pakai tu. Ha.. Jemput…Jemput duduk.” Helmie memotong kata-kata Yazit. Helmie yang dari tadi hanya membisu dan menyambut kedatanga tetamu dengan dingin kini berubah menjadi peramah pula.
“Malam tadi memang saya terkejut dengan tindakan dia. Dia terkam seorang penjenayah tu, rampas pistol dan tembak dua orang perompak! Lepas tu tiga perompak lain mungkin dah marah lalu menghujankan tembakan pada Helmie. Nasib baik Cuma kena dua das tembakan.” Yazit bercerita sambil menggayakan apa yang diceritakannya.
“Mungkin Perompak-perompak tu tak nak buang masa untuk tinggalkan tempat tu. Kalau mereka tak tergesa-gesa mesti banyak peluru tembus di badan kamu. Alhamdulillah Cuma kena bahu dan kaki saja kan?” Tambah Inspektor Raudhah sambil tersenyum.
“Apa pun kau ni memang hati kering macam inspektor Raudhah. Sanggup menggadai nyawa. Sepatutnya kau ni jadi polis je lah. Tak payah jadi pengawal keselamatan.” Celah Sarjan Idris.
“Saya memang benci dengan perompak-perompak semalam tu. Kalau boleh memang saya bunuh mereka semua sekali gus. Baru puas hati saya.” Helmie hanya tersenyum saja sambil merenung jauh ke hadapan dan tidak berkata apa-apa selepas itu. Mereka yang ada di situ tersenyum bangga dengan kata-kata Helmie.
“Petang ni ketua kami dari ibupejabat kontinjen akan datang ke mari melawat kamu dan memberikan penghargaan kepada kamu. Sepatutnya kami ingin bawa kamu berdua ke tempat kejadian hari ni bagi siasatan kes. Tapi rasanya, hanya kawan kamu saja yang boleh ikut kami memandangkan kondisi badan kamu tak mengizinkan. Dia pun saksi yang penting juga.” Ujar Inspektor Sani sambil memandang Yazit.
“Boleh.. Apa salahnya. Saya akan cuba sedaya upaya membantu pihak polis.” Tegas Yazit.
“Mari ikut kami ke tempat kejadian.” Pelawa Sarjan Idris.
“Naik kereta polis ke?” Tanya Yazit.
“Kenapa?” Tanya Inspektor Raudhah.
“Saja tanya… saya tak pernah naik kereta polis.” Jawab Yazit.
“Ooh…”
Semua pegawai polis yang ada di situ berjabat tangan dengan helmie tanda mereka akan beredar. Seperti biasa Helmie hanya diam dan mengukir senyuman paksa.
Dua buah kereta milik Polis Di Raja Malaysia bergerak menuju ke lokasi kejadian malam tadi.
“Puan, Puan cakap nak bawak Jadid sekali.” Bisik Sarjan Idris yang duduk di belakang Inspektor Raudhah. Koperal Ismail yang sedang memandu menjeling ke sebelah.
“Dia tengah tunggu dekat-dekat sana.” Bisik Inspektor Raudhah pula.
Sarjan Idris mengangguk tanda faham.
“Apa yang korang bisikkan tu?” Tanya Koperal Ismail.
“Tak ada apa-apa…” Jawab Inspektor Raudhah dan Sarjan Idris serentak sambil senyum kambing.
Perjalanan dari Hospital Sungai Buloh ke bank tempat kejadian rompakan malam tadi mengambil masa 20 minit.
Sementara itu Jadid yang menunggu di sebuah restoran mamak berdekatan dengan Rasya sudah 20 minit menunggu ketibaan pihak polis. Kebetulan hari itu hari sabtu. Jadid dan Rasya meninggalkan aktiviti ko-kurikulum pada hari itu dan telah memberitahu kepada guru Persatuan Sains dan Matematik bahawa mereka ada hal yang tak boleh dielakkan.
“Jadid, Kau belum bagitau aku kenapa kita ke Bandar Baru ni. Apa hal yang penting sangat? Kau nak jumpa seseorang ya?” Teka Rasya yang sudah tak berapa sabar menunggu.
“Em.. Bukan seseorang, tapi banyak orang.” Jawab Jadid mengangguk sambil menghirup air milo ais yang berada di depannya.
“Straight to the point la… Kau ni buat aku gabrah la…” Pinta Rasya.
“Sat lagi kau tau la… sabar je…” Ujar Jadid pantas setelah menelan minuman yang diminumnya. Matanya memandang sebuah kawasan yang sudah di rentang dengan tali pengadang polis lebih kurang 30 meter di hadapan mereka. Beberapa orang polis sedang masuk ke dalam premis yang menjadi kawasan larangan itu.
Ibunya belum kelihatan lagi. Rasya juga turut sama melihat kawasan kejadian rompakan.
“Berani ya pengawal keselamatan yang jaga bank tu semalam. Aku dengar kat berita pagi tadi dia dapat tembak dua orang perompak kat dalam bank tu. Tapi tak dapat dipastikan samada dua perompak tu hidup lagi ke tidak. Mintak-mintak mati biar padan muka dia orang!” Ujar Rasya.
“Macam mana nak padan muka kalau dah mati. Kalau lumpuh ke, cedera parah ke.. boleh cakap padan muka.” Balas Jadid sambil tersenyum kambing.
“Maksud aku biar padan muka dia orang dapat balasan kat neraka nanti.” Sambung Rasya sambil mengalih perhatian ke wajah Jadid.
“Tak cakap dari tadi…” Sambung Jadid. Rasya membuang muka ke arah premis bank kembali.
Dua buah kereta polis berhenti di hadapan kawasan kejadian. Inspektor Raudhah dilihat keluar dari salah sebuah kereta itu dan diikuti dengan yang lain.
“Jom!” Jadid bangun dari duduk menuju ke arah kaunter pembayaran.
“Eh kau nak kemana? Tiba-tiba je keluar.. Tunggu aku!”...


dapatkan buku Kisah Penyiasatan: Jadid Raudhah di Google Play untuk sambungan kisah ini..

Read more...

Kes 3 : Rompakan Wang Satu Juta 1 (Bahagian 1)

ROMPAKAN WANG SATU JUTA


Menjejaki Wang Satu Juta!


Sebuah kereta memecut dengan lajunya di tengah-tengah kesibukan bandar. Aliran trafik di jalanraya utama Bandar Baru Sungai Buloh menjadi kucar-kacir dengan kehadiran sebuah kererta Volvo S80 berwarna biru metalik mencelah-celah antara kenderaan. Kadang kala kereta itu tersasar ke lalulintas yang bertentangan dan hampir-hampir bertembung dengan kereta yang berlawanan arah dengannya. Tetapi nampaknya pemandu kenderaan itu seorang yang cekap memandu secara merbahaya. Sekali sekala kereta yang dipandunya bergesel dengan kereta lain dan menghasilkan percikan api. Ada juga kenderaan yang terbabas semata-mata ingin mengelak dari bertembung dengan kereta Volvo S80 yang bernombor pendaftaran palsu itu.
Tidak jauh di belakang kereta itu ada dua kereta peronda Proton Waja polis yang membunyikan siren sedang cuba mengejar kereta itu. Sebenarnya ada tiga kesemuanya setelah sebuah darinya terbabas dalam adegan kejar mengejar itu.
“Kau ingat kau boleh terlepas dengan mudah ya?! Kalau kau terlepas pun aku akan pastikan kereta kau tu akan hancur berkecai dan kau berlari dalam keadaan luka yang sangat parah!!” Seorang polis wanita yang berada dalam kereta peronda yang berada di belakang kereta Volvo S80 sedang bercakap seorang diri dengan nada yakin.
Sementara rakan setugas di sebelahnya yang kelihatan ketakutan sedang berpaut pada ‘handler’ di atasnya.
“Puan, Kalau iya pun… Janganlah tiru ….aksi dia tu…Silap-silap…. dia terlepas….., kita pulak….. di timpa bencana..” Kata-kata yang keluar dari Sarjan Idris terputus-putus mengikut jumlah kereta yang Inspektor Raudhah pintas dengan cara yang berbahaya.
“Jangan cerita pasal bencana boleh tak… Saya jadi tak konfiden kalau awak cakap macam tu! Baik awak diam saja sarjan!” Balas Inspektor Raudhah sambil memusing stering kereta dan memainkan pedal minyak dan brek seraya tangan kirinya menggerakkan tombol gear.
“Kenapa tak aku je yang pandu awal-awal tadi… Lupa pulak aku yang Inspektor Raudhah ni tekenal dengan gaya pemanduan yang berbahaya. Ya Allah! Selamatkanlah aku dan Puan aku yang degil ni!!” Sarjan Idris menadahkan tangan dengan muka yang penuh memohan.
“Kalau kau yang pandu, mesti kereta tu dah cicir kita jauh. Sekurang-kurangnya, kita tahu ke mana arah dia melarikan diri!! Aku tak pernah pulang ke balai polis tanpa membawa penjenayah dengan cara pemanduan seperti ini!!” Inspektor Raudhah memang terkenal dengan kehebatannya mengejar penjenayah menggunakan kenderaan. Dia telah merosakkan hampir enam buah kereta peronda dan tiga buah motosikal sepanjang kariernya sebagai anggota polis. Tetapi ianya berbaloi kerana dia berjaya memberkas semua penjanayah dengan cara seperti ini.
Sebelum tiba di satu simpang berlampu isyarat yang terdapat banyak kenderaan,

STREEEEEEEECHHH!!!!!!!!

Kereta Volvo S80 itu tiba-tiba berpusing untuk berpatah balik Betul-betul 100 meter di depan kereta peronda yang dipandu Inspektor Raudhah.
“Siapa yang pandu kereta polis tu? Aku dengar hanya ada seorang anggota polis yang berani memandu dengan cara bahaya seperti ni. Yang aku dengar seorang anggota wanita… Jangan-jangan….” Seorang lelaki berjaket hitam sedang tersenyum sambil tangan kirinya mengocok tombol gear ke gear rendah. Di tempat duduk sebelah pemandu terdapat sarung kepala berwarna merah. Pedal minyak ditekan habis sambil pedal cluth dilepaskannya perlahan-lahan. Deruman enjin keretanya yang telah diubahsuai itu membingitkan keadaan. Keretanya memecut laju ke arah kereta peronda Inspektor Raudhah. Geseran tayar yang menghasilkan asap tebal menyelubungi jalanraya.
Inspektor Raudhah tergamam dengan tindakan pemandu itu. “Apa muslihat yang dia nak buat ni? Gila ke dia ni? Sebijik macam dalam filem!!” Bisik hati Inspektor Raudhah.
“Puan, tengok tu!! Dia nak uji kekeringan hati Puan!!! Ya Allah!! Aku tak nak mati dengan cara ni!! Puan Menyerah saja!!! Dia tu orang gila agaknya!! Elak cepat Puan!!!!!” Sarjan Idris menjerit dan merayu dengan biji matanya tak terlepas memandang ke hadapan.
Inspektor Raudhah mengukir senyuman sambil menjeling Sarjan Idris.
“Dia ni bukan gila. Kalau gila dia takkan larat memandu cara macam ni. Nak tahu hati siapa lagi kering.., tunggu beberapa saat lagi…” Ujarnya selamba sambil mengurangkan satu gear dan menekan penuh pedal minyak. Mereka berdua tersentak ke hadapan apabila enjin kereta peronda mengaum. Kali ini kedua-dua kenderaan yang saling berhadapan ini bergerak dengan pecutan yang begitu pantas sekali.
“As’hadu’alla’ilaha’illah…” Sarjan Idris mengucap dua kalimah syahadat tanda dia pasrah dalam situasi genting itu. Pemandu Volvo S80 itu tenang sahaja meluncurkan keretanya. Ini kerana dia berpendapat seorang anggota polis tidak akan menggadaikan nyawa demi menangkap penjenayah yang baru pertama kali dikejarnya.
Jarak kedua-dua kenderaan makin hampir. Kelajuan kedua-duanya pula amat tinggi. Kebetulan malam itu helikopter polis sedang meronda dan memantau agedan kejar-mengejar itu.
“Inspektor! Elak! Kamu telah mengejar kereta yang salah!! Ini arahan dari IPK!!” Alat perhubungan yang membawa isyarat dari krew helikopter berkumandang di dalam kereta peronda yang dinaiki oleh Inspektor Raudhah dan Sarjan Idris. Tapi nampaknya pemandu kereta peronda itu tidak akan menghiraukan arahan. Dia masih dalam keadaan yakin jika dilihat dari senyumannya.
60 meter yang terakhir sebelum pertembungan..
“Idris! Pegang kuat-kuat…pejam mata, dan jangan pandang depan. Kau pakai tali pinggang tak?” jerit Inspektor Raudhah.
“Pakai Puan. Nak mati pun kena pakai tali pinggang keselamatan ya Puan?” Jawab Sarjan Idris ketakutan.
“Bukan… Kita akan berpusing-pusing di udara seperti menaiki piring terbang sebentar lagi.” Sambung Inspektor Raudhah seperti membaca puisi sambil fokus dengan sasarannya.
“Maknanya kita tak akan matilah ya Puan?” Sarjan Idris sedikit kehilangan perasaan takutnya.
“Belum tentu..” Jawab Inspektor raudhah ringkas. Jawapan yang mengecewakan Sarjan Idris. Dia kembali dengan wajah bimbangnya. Semua kenangan bersama keluarga dan tunang tersayang muncul di hadapan mata ketika itu.
“Aku tahu apa yang kau fikirkan, pemandu yang hebat! Kau pasti jangka yang aku akan mengalah. Memang aku akan elakkan diri… tapi aku dah cakap, kalau kau terlepas pun, kau takkan pergi jauh kerana kau juga akan kehilangan kereta hebat kau tu!! RASAKAN NI!!!”
Di 30 meter terakhir sebelum pertembungan, Inspektor Raudhah memulakan helahnya. Dia memutar stering keretanya dengan pantas ke arah kiri sambil menekan brek dengan kadar yang sesuai supaya keretanya berkedudukan melintang.
Kini kereta peronda yang dinaiki Inspektor Raudhah bergerak secara melintang menuju ke hadapan dengan keempat-empat tayar bergesel di permukaan jalanraya. Pemandu Volvo S80 itu tergamam dengan perubahan itu dan tidak sempat berbuat apa-apa kerana apa yang berhadapan dengannya kini bukan bahagian depan kereta peronda tetapi bahagian kiri sebelah belakang kereta peronda itu!!.
“Kurang Ajar! Baru aku ingat, dia ni Inspektor Raudhah yang terkenal tu!!!” ...


dapatkan buku Kisah Penyiasatan: Jadid Raudhah di Google Play untuk sambungan kisah ini..

Read more...

Kes 2: Mana Laptop Cikgu?! (Bahagian 1)

MANA LAPTOP CIKGU?


Kriiiiiiing!!!!

Deringan loceng yang memekakkan telinga bagi orang yang pertama kali mendengarnya. Tetapi bagi pelajar Sekolah Menengah Bandar Baru Sungai Buloh sudah menjadi kebiasaan mendengar bunyi itu. Mana taknya… Dalam sehari lebih kurang enam kali bunyi loceng menusuk ke gegendang telinga mereka. Bagi mereka bunyi loceng sekolah sudah menjadi seperti bunyi cengkerik di waktu malam.
Bunyi loceng pertama itu menandakan bermulalah waktu persekolahan pada hari Isnin minggu pertama di bulan Mac tahun ini. Kelihatan seorang pelajar dilihat sedang memasuki perkarangan sekolah melalui pintu utama. Dua orang pengawas yang ditugaskan di pintu utama itu nampaknya memberi peluang kepada pelajar itu memandangkan deringan loceng belum sampai ke penghujungnya. Dia berlari-lari anak bagi mengelakkan nama mereka tercatit sebagai pelajar yang datang lewat pada hari itu dan terpaksa berbaris di barisan yang dikhaskan untuk pelajar yang lewat pada perhimpunan yang akan berlangsung setiap hari Isnin.
Seorang guru wanita juga baru memasuki pintu pagar sekolah dengan kereta Perodua Kancilnya menuju ke tempat meletak kenderaan. Dia tergesa-gesa keluar dari keretanya dan membuka pintu belakang sebelah pemandu bagi mengambil barang. Beberapa fail, buku dan sebuah beg perlu dibawa oleh guru wanita itu. Badannya terhoyong hayang apabila sebuah fail paling atas dalam tatangan tangannya menggelongsor ke kiri dan ke kanan akibat keagresifan guru itu berjalan dengan agak pantas.
“Cikgu… Biar saya tolong…”
“Ya cikgu… Kesian kami tengok cikgu.” Dua orang pelajar perempuan yang kebetulan ada di situ menawarkan bantuan kepada Cikgu Dalilah.

“Ah… Terima Kasih ya… Nasib baik kamu ada. Kalau tak mungkin barang cikgu akan jatuh sebelum sampai ke bilik guru. Kamu letak saja atas meja cikgu ya…. Cikgu nak ke tandas…Lagi satu, Hati-hati bawa beg tu ye… Kalau jatuh terhempas menangis saya..” Minta Cikgu Dalilah kepada Dua pelajar perempuan itu sambil dia meneruskan langkahnya ke tandas yang terletak di hujung blok utama yang menempatkan bilik guru di hujung yang satu lagi.
“Cikgu.. Tunggu… Meja cikgu kat sebelah mana?” Tanya seorang dari pelajar perempuan itu.
“Kat sebelah meja Cikgu Rosnah!! Meja Paling tepi.” Jerit Cikgu Dalilah tanpa menoleh ke belakang.
“Nampaknya cikgu tu dah betul-betul tak tahan nak ehem ehem kot. Nasib Cikgu Rosnah tu guru kelas kita. Senanglah kita cari meja dia. Betul tak Jadid?!” Ujar Rasya kepada temannya sambil kedua-dua pelajar tingkatan 4 Harmoni itu berjalan menuju bilik guru yang berada di blok utama iaitu bangunan yang menghadap Dataran SMKBBSB.
“Iya lah… Tapi yang hairan…cikgu tu tak bagi tau kita kat mana meja dia sebelum dia tinggalkan kita. Padahal dia tak mengajar kat kelas kita pun. Dia mesti tahu yang kita tak tahu lokasi meja dia.” Balas Jadid yang sedang memeluk fail kepunyaan Cikgu Dalilah.
Jadid membawa beg sandang dan dua buah fail manakala Rasya membawa lima buah fail ke bilik guru yang tidak jauh dari mereka. Kebanyakan guru sudah meninggalkan bilik guru untuk mengambil tempat di perhimpunan. Tinggal beberapa orang guru sahaja. Selesai meletakkan barang kepunyaan Cikgu Dalilah, mereka keluar dari bilik guru bersama dengan Cikgu Ruhaidah, guru matapelajaran Sains. Dia adalah guru yang paling akhir meninggalkan bilik itu. Jadid dan Rasya terus ke barisan kelasnya dalam perhimpunan itu. Barisan kelas mereka berdua berada di tengah-tengah perhimpunan.
Beberapa orang pengawas pula ditugaskan untuk rondaan sekitar kelas dan kawasan sekolah bagi memastikan tiada pelajar yang tidak menyertai perhimpunan kecuali bersebab. Dataran SMKBBSB yang terletak di hadapan bangunan utama yang menempatkan hampir keseluruhan pentadbiran sekolah yang tadinya menjadi kawasan lalu lalang pelajar dan guru-guru semakin sesak dengan pelajar. Tak sampai lima minit 90 peratus pelajar dan guru-guru sekolah itu sudah memenuhi dataran tempat berlangsungnya perhimpunan. Beberapa orang pengawas dan pelajar menyusun kerusi di hadapan barisan pelajar bagi menempatkan guru-guru mereka.
Nampaknya ada beberapa orang di barisan pelajar yang datang lewat. Dua orang pelajar perempuan tingkatan 4 dan seorang pengawas lelaki tingkatan 5. Seperti biasa pelajar lain pasti akan tertarik melihat muka-muka pelajar yang datang lewat. Dua orang Pengawas yang ditugaskan di pintu pagar utama sekolah kelihatan berjalan menuju perhimpunan. Seorang daripadanya menyerahkan nama-nama pelajar yang lewat kepada seorang guru yang masih berdiri sedangkan guru-guru lain sudah mengambil tempat duduk masing-masing. Dia adalah guru disiplin, Cikgu Jamal. Cikgu Jamal tidak meneliti nama-nama dalam senarai yang diterimanya kerana nama mereka akan terus dipanggil selesai perhimpunan tamat. Senarai itu kemudian dimasukkan ke poket baju kemejanya.
Pengawas yang menjalankan rondaan sekitar kawasan sekolah belum kelihatan. Sudah menjadi kebiasaan mereka yang ditugaskan meronda kawasan sekolah sebelum perhimpunan bermula akan lewat lebih kurang 5 hingga 10 minit kerana perlu menjelajah ke seluruh pelusuk kawasan bagi memastikan tiada rakan mereka yang ponteng perhimpunan.
Dua kerusi didapati kosong di barisan guru. Satu daripadanya milik cikgu Jamal yang masih berdiri di tepi barisan beratus-ratus pelajar. Manakala satu lagi kepunyaan salah seorang cikgu yang masih berada dalam bilik guru.

BILIK GURU

“Ya Allah… Mana aku letak Laptop aku tadi… Takkan baru tinggal sekejap ke tandas dah hilang!” Rupanya Cikgu Dalilah yang mengajar matapelajaran Sejarah sedang dalam kesusahan. Komputer Riba kepunyaannya yang berada dalam beg sandang hilang entah ke mana semasa dia pergi ke tandas.
“Takkan budak tu salah letak? Tak mungkin..! Beg tu pasti diletak bersama fail-fail ni.” Cikgu Dalilah memandang fail yang ada di atas mejanya. Puas juga dia mencari di segenap pelusuk bilik guru. Namun usahanya tidak berhasil.
Dia cuba mengingat semula wajah dua orang pelajar yang menolongnya tadi. Mungkin dua pelajar itu yang melarikan komputer ribanya. Tetapi dia tidak boleh menuduh secara melulu kerana tak mungkin dua pelajar perempuan itu mendedahkan wajah mereka kepadanya kalau mereka berniat mencuri. “Tapi sekurang-kurangnya dua pelajar boleh jadi suspek atau saksi…Alamak… Aku lupalah muka diorang.. Kena buat post-mortem ni.” Bisik hati Cikgu Dalilah. Lantas dia keluar dari bilik guru secara tergesa-gesa. Mula-mula dia mendapatkan Cikgu Jamal yang berdiri di tepi barisan pelajar. Cikgu Dalilah membisikkan kejadian yang menimpanya ke telinga Cikgu Jamal. Cikgu Jamal terkejut mendengar kejadian itu dari Cikgu Dalilah yang kelihatan runsing sekali. Kebanyakan pelajar yang sedang berbaris sedar dengan tingkah laku Cikgu Dalilah yang jelas dalam kesusahan. Begitu juga Jadid dan Rasya.
“Jadid, Kau tengok Cikgu tadi tu.. Macam ada yang tak kena je dengan dia.” Suara perlahan Rasya kepada Jadid yang berada di depannya.
Jadid tersenyum sinis.
“Kau percaya tak kalau aku cakap yang kita akan berada dalam trouble jap lagi…” Jadid memusingkan sedikit kepalanya ke belakang.
“Kenapa kau cakap macam tu?” Rasya terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh rakannya itu.
“Dia mesti kehilangan barang.” Jelas Jadid Ringkas. Rasya terkejut sambil menutup mulutnya yang ternganga takut-takut dia akan menjerit.
“Tengok riak muka cikgu tu…, Dahinya berkerut, keningnya terangkat sedikit, bibirnya terbuka sedikit. Itu tanda orang runsing yang dalam kesusahan.Kalau sesuatu berlaku pada keluarganya dan dia mendapat panggilan telefon, pasti dia dah menangis dan mukanya akan merah. Kalau dia mengalami kecederaan, pasti riak mukanya menterjemahkan rasa sakitnya itu dan dia memegang bahagian tubuh yang sakit. Kalau setakat sakit perut atau pening kepala tak perlulah dia nak beritahu Cikgu Jamal. Elok dia duduk dalam bilik guru saja. Sedangkan dia boleh beritahu Cikgu Hasnah yang duduk paling tepi dalam barisan guru. Tak perlu susah-susah mendapatkan Cikgu Jamal yang berada kat tepi barisan pelajar tu.Cikgu Jamal adalah guru disiplin. Jadi ia mungkin pasal disiplin. Kehilangan atau kecurian ada hubung kait dengan disiplin.” Jelas Jadid lagi. Rasya hairan dengan keterangan Jadid. Kenapa rakannya itu begitu pantas berfikir?
Benarkah mereka akan berada dalam masalah seperti yang dikatakan oleh Jadid?
Cikgu Jamal mengatakan sesuatu kepada Cikgu Dalilah sambil mengangguk dan terus mendapatkan pengetua sekolah yang duduk di tengah-tengah barisan para guru sambil diikuti oleh Cikgu Dalilah sendiri. Semua mata tertumpu ke arah Cikgu Jamal dan Tuan Pengetua, iaitu Tuan Haji Shahar. Ketua pelajar, Sulaimi yang berada di atas platform juga terhenti memberi ucapan pembukaan kerana dia sedar yang semua pelajar tidak tertumpu ke arahnya. Cikgu Jamal naik ke atas platform dan menggantikan tempat Sulaimi. Sepertinya ingin memberi pengumuman penting pada pagi itu.
“Baiklah! Kepada semua pelajar, anda semua dikehendaki masuk ke dalam kelas masing-masing sekarang kerana perhimpunan pada hari ini dibatalakan atas sebab-sebab tertentu. Hanya pengawas sahaja yang dikehendaki berada di sini. Sekian Terima Kasih.” Pengumuman Cikgu Jamal itu mendapat sambutan yang hangat oleh sesetengah pelajar yang memang tidak sukakan perhimpunan. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang datang lewat pada hari itu kerana mereka terlepas dari hukuman mengutip sampah sekitar kawasan sekolah.
“Hi hi hi…Selamat kita Jadid…” Lontaran rasa lega Rasya sambil menarik bahu Jadid yang tidak berganjak dari tempat dia berdiri.
“Lupakan niat kau nak masuk kelas sekarang…” Ujar Jadid sambil tersenyum sinis.


dapatkan buku Kisah Penyiasatan: Jadid Raudhah di Google Play untuk sambungan kisah ini..

Read more...

Tuesday, January 27, 2009

Kes 1 : Episod Malang Keluarga Bakri (Bahagian 1)

“Jadid!!!!!”
“Ooo Jadid…!”
Suara yang datang dari dapur itu membingitkan suasana seisi rumah. Rumah dua tingkat yang tersergam indah di tengah-tengah kawasan perumahan elit di Bandar Baru Sungai Buloh 2 itu baru mendapat tuan baru beberapa hari lalu setelah keluarga Encik Bakri berpindah dari rumah lamanya yang terletak di Ampang Jaya kerana tugas sebagai seorang pengurus bank.
Seorang gadis berusia 16 tahun melangkah keluar dari bilik dan menuju ke arah suara yang memanggilnya. Dengan berpakaian baju T dan seluar pendek paras lutut dia berlari-lari anak sambil mengelak beberapa bungkah permainan kecil milik adiknya di ruang tamu. Setibanya di dapur dia memberhentikan langkahnya setelah orang yang dicarinya telah ditemui sedang mencuci pinggan yang kelihatan memenuhi singki.
“Ada apa mak?” Tanya gadis itu yang kelihatan seperti terganggu dengan panggilan ibunya. Keningnya sedikit berkerut.
Ibunya yang sedang khusyuk mencuci pinggan mangkuk berpaling dengan tangannya masih meneruskan kerja.
“Mak cuma nak kau tengok-tengokkan adik kau tu je. Dia tengah main kat ruang tamu kan?”
“Bermain di ruang tamu?” Jadid mengerutkan dahi sambil melabuhkan punggungnya di kerusi meja makan yang terletak disebelahnya.
“Kan adik kau ada di ruang tamu. Kenapa? Dah tak de ke?” Giliran ibunya pula mengerutkan dahi. Kali ini mereka sama-sama mengerutkan dahi dan memandang antara satu sama lain.
“Aiman!!!!”
serentak jeritan anak beranak itu. Mereka bergegas ke ruang tamu bersama. Memang betul… Seorang ahli keluarga mereka iaitu anak bongsu Puan Raudhah didapati tiada di tempat dia bermain.
“Mak! Kenapa biarkan adik main seorang kat sini!!!” Jadid memarahi ibunya yang sedang mengusap-usap pipi dengan dua tapak tangannya.
“”Mak ingat kau ada kat sini. Tu yang tak berapa nak tengok sangat tu!! Kau pun satu… dah tahu adik kau ada kat ruang tamu ni kenapa kau masuk bilik pulak?!” Jelas Puan Raudhah sambil menyelak bahagian bawah kain alas meja sebuah meja kecil berhampirannya takut-takut anak bongsunya yang bernama Aiman itu tertidur di bawah meja. Sementara itu Jadid membuka bilik stor yang ada di bawah tangga. Juga tiada ….
“Habislah kalau ayah tahu…!” Jadid mengomel sambil melangkah laju menuju ke pintu utama rumah mereka yang terbuka sedikit dan memakai selipar ayahnya yang berada jauh dari pintu. Jadid hairan kenapa selipar ayahnya itu berada jauh dari pintu dan dalam keadaan yang tidak tersusun.
“Ayah kau kejap lagi balik. Apa kita nak jawab kat dia?” Sambung Puan Raudhah yang juga megikut jejak Jadid. Encik Bakri yang bertugas di sebuah bank di Bandar Baru Sungai Buloh akan habis bertugas tepat pukul 5.00 petang. Jam sudah menunjukkan pukul 3.30 petang.
Jadid menuju ke pintu pagar yang tertutup dan berkunci. Tetapi di sebelah kiri pintu pagar itu ada sebuah pintu kecil yang sediakala diselak tapi mangganya tidak dikunci. Tinggi selak itu 4 kaki daripada lantai.
“Tak mungkin adik aku yang baru 2 tahun tu boleh keluar dan menolak semula selak pintu ni. Tinggi dia baru 2 kaki lebih sikit je. Mesti dia ada di dalam rumah ni lagi. Lagipun sekeliling ni tak ada pun benda yang boleh dia panjat untuk membuka dan menutup selak pintu ni. Kat luar pintu pagar pun takde juga.” Jadid berfikir sejenak sambil memegang selak pintu yang tertutup itu.
“Jumpa tak kat luar tu?” Jerit Puan Raudhah dari tingkap bilik utama di tingkat atas.
“Tak…! Ada kat atas ke?” Jadid membalas.
“Biar betul Jadid… Mana adik kau …!” Puan Raudhah semakin risau. Air matanya hampir terpacul dari kelopak matanya. Wajah suaminya mula terbayang di ruang mata. Bukan dia takut dimarahi oleh Encik Bakri. Tetapi dia memikirkan sedihnya perasaan suaminya itu setelah mendapat tahu anak kesayangannya itu hilang. Encik Bakri memang sayang pada Aiman. Walaupun dia penat bekerja setiap hari, tetapi dia tidak lupa membawa Aiman ke taman permainan berhampiran hampir setiap hari. Dia juga pasti akan membelikan hadiah berupa snek atau permainan setiap kali pulang dari kerja. Tapi hari ini satu peristiwa yang tidak dijangka telah berlaku.
Manakala Jadid yang yakin adiknya masih ada di dalam rumah terhenti di pintu masuk utama rumahnya. Dia memandang selipar yang dipakainya. Bila masa pula selipar jenama ‘Asadi’ ayahnya bertukar menjadi jenama ‘Asabi’? Warna sama. Ton warna birunya juga sama. Sekali pandang memang tiada kecurigaan. Bila diteliti betul-betul, barulah dia perasan yang itu bukan selipar milik ayahnya. “Patutlah aku rasa longgar semacam je. Saiz 8! Ayah pakai saiz 6 1/2! Ada orang pecah masuk rumah aku dan culik adik aku!!” Jadid terbeliak sambil berlari masuk ke dalam rumah untuk mendapatkan ibunya.
Di ruang tamu, Jadid sekali lagi terhenti.
“Biar aku periksa dulu keadaan ruang tamu ni.”
Jadid memerhatikan sekeliling. Ada banyak bungkah mainan ‘Lego’ di atas permaidani berukuran 8’ x 4’ di hadapan TV 49 inci. Purata setiap satunya bersaiz kotak mancis dan ada pelbagai warna.
“ ‘Lego’ set ni hadiah dari ayah. Baru semalam dia belikan untuk Aiman. Rasanya belum ada yang hilang kalau aku kumpul dan kira balik semua bongkah mainan ni.” Lalu Jadid pun mengumpul semua bongkah mainan adiknya yang berterabur di atas permaidani. Ada beberapa biji yang telah bercantum. Mungkin telah dicantum oleh adiknya. Beberapa bongkah juga didapati pecah. Jadid segera mendapatkan kotak set ‘Lego’ di atas meja bagi mencari penerangan mengenai barang mainan itu.
Dibelek-beleknya kotak itu sehingga Jadid terjumpa sehelai kertas didalam kotak itu.
“Ha, ini dia… Bilangan bongkah dengan pecahan warnanya sekali!” Bisik hati Jadid.
Jadid pun mula mengasingkan bongkah mengikut warna dan mengira bagi dibandingkan dengan jumlah yang terdapat dalam kertas penerangan yang dijumpainya di dalam kotak set ‘lego’.
“Merah 25 biji…Betul…”
“Kuning 25 biji… Betul…”
“Biru 20 biji… Betul…”
“Hitam 20 biji… Betul…”
“hijau…17?!”
“Dan ungu…23?!


dapatkan buku Kisah Penyiasatan: Jadid Raudhah di Google Play untuk sambungan kisah ini..




Read more...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Superman Logo